Wednesday, November 19, 2008

Teks Ucapan Bengkel Refleksi DPLI UDM 08

Selasa

4 November 2008

Batu Burok Beach Resort

Kuala Terengganu



K.yah ar yang suh upload teks ucapan ni lam blog.. senang dia nak copy bila2 perlu.. aku pun pikir2 elok gak memanjangkan jariah kat sape2 yg trdesak nak guna utk berucap.




Cerita kena berucap ni mmg agak2 sadis la huhu..


Ni sumer gara-gara YUSRI ar.. pandai2 cakap kat Dr.Mus nak suh aku berucap.. Ntah2 sbenarnya Dr.Mus memang suh awak yg berucap kan kan.. tul x yusri??..


Aku da enjoy2 nak g refleksi ni malas nak pikir2 kene wat teks la.. nak berucap la huhu..


Time tengah syok2 soping kat giant ngan k.Yah beli adiah kawen Mek Ba, Is n Lin la tiba2 yusri call.. lepas stngah jam gaduh kat tpon.. x termasuk gaduh sms lak mlm tu.. aku wat gak ar teks ucapan tu sambil hafal lagu baru UDM yg dol email sampai kul doblas mlm.


K.yah awal2 g suh masuk pantun time berucap.. aku pun pe g trus bagi tender supply pantun kat dia. Pagi selasa tu baru siap wat teks. Ni la rupe teksnya yg penuh ngan pantun.. k.yah ar nak sangat suh buh pantun.. haa amik berangkap-rangkap aku letak..



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله رب العالمين......

SALUTASI

  • Yang berbahagia...

Dan Para guru pelatih DPLI UDM 2008 yang dirahmati Allah sekalian


Alhamdulillah.. setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah s.w.t yang telah memperkenankan, hasrat kita, untuk dipertemukan semula, di hari yang berbahagia ini, dalam Bengkel Refleksi DPLI UDM 2008 setelah berpisah selama kira-kira 3 bulan yang lalu, untuk menyempurnakan latihan praktikum masing-masing.


Sebagaimana yang sedia maklum, program refleksi ini, merupakan satu postmortem, bagi semua guru-guru pelatih DPLI, untuk saling berkongsi pengalaman, dan pembelajaran yang telah diperolehi, daripada latihan praktikum, yang telah disempurnakan, selama 12 minggu sebelum ini. Pastinya banyak ilmu dan idea-idea baru, berkaitan pengajaran dan pembelajaran, yang dapat dikongsikan bersama, dan dijadikan bekalan, untuk menjadi pendidik yang lebih cemerlang di masa hadapan. Kiranya, program ini juga merupakan platform terakhir, pertemuan antara semua guru pelatih DPLI, dengan pihak pengurusan UDM dan juga para pensyarah sekalian.


Sehubungan itu, jutaan terima kasih, kami layarkan kepada Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UDM, khususnya Jabatan Pendidikan & Tamadun Islam, yang telah berusaha menganjurkan progam ini. Ini kerana, berdasarkan maklumat daripada sahabat-sahabat guru pelatih DPLI ,di beberapa buah universiti lain, tidak ada penganjuran program seumpama ini di sana. Maka seharusnya, semua guru pelatih DPLI dapat memanfaatkan program ini sepenuhnya.


Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga guru pelatih DPLI UDM 2008, ingin mengucapkan penghargaan, dan ucapan terima kasih, kepada pihak pengurusan Universiti Darul Iman Malaysia, di atas segala perhatian dan kerjasama yang baik, sepanjang menguruskan program DPLI sulung di UDM ini, yang telah bermula pada 3 Januari 2008, iaitu hari pertama pendaftaran DPLI sehingga kini.


Seterusnya, sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih juga, kami hamparkan kepada, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, khususnya Jabatan Pendidikan & Tamadun Islam yang diterajui oleh ayahanda-ayahanda kami, terutamanya, Ybhg Dr. Abdul Hakim bin Abdullah selaku dekan, dan guru kami yang sangat mesra, terbuka dan banyak mencurahkan ilmu, serta sentiasa berusaha meluangkan waktu sibuk beliau kepada kami, bagi membincangkan pelbagai urusan yang berkaitan pembelajaran kami.


Kami juga melayangkan setinggi-tinggi penghargaan, dan ucapan terima kasih, sepenuh kasih kepada ayahanda kami Ybhg Dr. Mustapha bin Che Omar selaku Ketua Jabatan Pendidikan & Tamadun Islam, yang sangat komited dalam menguruskan program DPLI ini, sangat prihatin terhadap sebarang masalah dan kesukaran yang kami hadapi, malahan beliau juga merupakan seorang ayahanda yang sangat sabar dalam meladeni kami, anak-anaknya yang seramai 60 orang ini..


Maka, di atas segala budi baik ayahanda yg tidak tersebut oleh kami itu, hanya doa dapat kami panjatkan, semoga Allah jua yang membalasnya dengan penuh kebaikan dan keberkatan kepada ayahanda.. Amin..


Seterusnya, setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga, kami hulurkan kepada semua guru-guru kami, iaitu para pensyarah yang telah banyak mencurahkan ilmu kepada kami, sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, yang kami lalui di semester I dan II yang lalu. Segala curahan ilmu, tunjuk ajar dan pengalaman yang telah dikongsikan itu, kami tadah dan kami tatang bagaikan menatang minyak yang penuh di tangan, sebagai bekalan dan panduan untuk kami mencipta kecemerlangan di masa hadapan.


Segala pengorbanan tersebut amat kami sanjung, bak kata pantun orang dulu-dulu..

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut

Budi yang baik rasa nak junjung


Seterusnya, tidak dilupakan juga, kepada sahabat-sahabat guru pelatih DPLI UDM 2008 seramai 60 orang, yang telah banyak berkongsi ilmu, pengalaman, menjalinkan ukhuwwah, susah dan senang bersama selama 10 bulan menjalani pengajian di negeri Darul Iman ini, semoga, semua episod kehidupan, yang kita jalani di sini, akan kita kenang, sebagai satu kenangan terindah dan ukhuwwah yang terjalin, akan terus kekal, walaupun mungkin akan terposting, di mana-mana ceruk desa atau kota metropolitan di seluruh negara.


Kerana beginilah resam kehidupan..

Curah segayung rasa tak basah

Sesuap kanji rasa tak makan

Ada bertemu ada berpisah

Kerdil kita di hadapan Tuhan


Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi ucapan ini, akhir kata, semoga bersama-sama kita dapat memanfaatkan, pengisian progam yang telah disusun, dalam usaha membina kecemerlangan dalam diri kita, sebagai bakal pendidik di masa hadapan.


Asap api embun berderai

Patah galah haluan perahu

Niat hati tak mahu bercerai

Kuasa Allah siapa yang tahu


Anak cina memasang lukah

Lukah dipasang di tanjung jati

Di dalam hati tidak kan lupa

Bagaikan rambut bersimpul mati


Jikalau ada sumur di ladang

Bolehlah kita menumpang mandi

Jikalau ada umur yang panjang

insyaAllah semoga kita bertemu lagi..

sekian, wabillahi taufik wal hidayah.. assalamualaikum wbt..



**gambo ngah berucap x amik g ngan pak Hasyim.. upload sok bila da dpt la..

No comments: